Pages

Kepah Goreng Daun Selasih

Semalam ke pasaraya Aeon Big di Wangsa Maju.  Asalnya untuk membeli keperluan dapur. Singgah ke sudut pokok hidup untuk membeli anak pokok selasih bagi menggantikan pokok-pokok selasih yang telah mati di pasu di halaman rumah. Maklumlah, tinggal di rumah teres, mana ada kawasan untuk menanam.

Walaupun terdapat pelbagai pokok yang lain di sudut jualan itu, tetapi taukehnya tiada. Tak dapatlah membeli anak pokok selasih tersebut.  Tapi sempat pula belek-belek beberapa anak pokok selasih.  

Rupa-rupanya dicelah-celah pokok tersebut, ada tertera resepi ringkas masakan kepah dan daun selasih. Tertulis disitu, "masukkan kepah, sos tiram dan daun selasih. Masak dan makan."  Aahh... mudahnya. :)

Walaupun agak ringkas, tetapi teruja untuk mencuba kerana kebetulan baru saja membeli seikat daun selasih di pasaraya NSK di kawasan yang berhampiran. Apa lagi, terus ke bahagian pasar dan beli 700gm kepah.



Bahan-Bahan:

700gm Kepah 
4 tangkai daun selasih (ambil daunnya)
2 keping tauhu (dipotong dadu)
3 ulas bawang putih (dihiris halus)
3 ulas bawang kecil (dihiris halus)
1 biji bawang besar (dimayang)
1 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil sos ikan
1 sudu kecil bijan
1/2 cawan air
Secubit tepung gandum
Secubit black pepper
Garam secukup rasa
Minyak masak untuk menggoreng tauhu dan menumis



Cara Membuat:

1.  Tauhu digaul bersama bijan dan tepung gandum lalu digoreng. Ketepikan.
2.  Panaskan minyak dan tumis bawang kecil dan bawang putih hingga naik baunya.
3.  Masukkan kepah, sos tiram, sos ikan dan air. Kacau hingga kepah masak.
4.  Masukkan daun selasih, tauhu dan bawang besar.
5.  Masukan garam, black pepper dan gaulkan.  Sedia dihidang.


Selamat Mencuba  :)


Sudi-sudikanlah komen di bawah ini dan kongsikan dengan kawan-kawan, ya ... Terima kasih  :)  :)



No comments:

Post a Comment