Pages

Bubur Asyura Utara

Pagi hari minggu yang tenang. Tiada aktiviti khusus hari ini.  Tetiba isteri mencadangkan buat bubur asyura cara utara.  Lalu bertanya, ada berapa banyak jenis bubur asyura?  Rupa-rupanya bila rujuk kepada pakcik Google, hampir setiap negeri di Malaysia ini mempunyai resepi bubur asyura yang tersendiri.

Memandangkan isteri, orang utara, sebab itu beliau mencadangkan buat bubur asyura cara utara.  Setelah melihat pelbagai jenis menu, dengan mengambil beberapa idea dan dicampur dengan idea sendiri, maka terciptalah Bubur Asyura Utara (Jamal style... hehehe).

Kata orang, kalau buat bubur asyura, perlu buat lebih untuk dikongsikan.  Dapatlah diagih-agihkan dengan mereka yang berdekatan.  Kepada yang jauh dan ingin merasa, cubalah resepi ni ya... kira kongsi juga tu... hihihi...

Antara bahan-bahannya

Siap untuk diagih-agihkan
Bahan-Bahan:

500gram tepung beras
100gram tepung jagung
500gram gula pasir
300gram santan
250gram gula merah atau 1 ketul gula Melaka (dididih hingga larut dan ditapis)
200gram kacang kuda (direbus)
200gram kacang hijau (direbus)
200gram kacang merah (direbus)
200gram barli (direbus)
200gram kacang Tanah (digoreng tanpa minyak)
200gram jagung manis
12 biji kurma
2 biji pisang (dihiris)
2 biji keledek merah (dipotong dadu dan direbus)
1 biji keledek kuning (dipotong dadu dan direbus)
1 sudu sagu (direndam dan ditoskan)
2 helai daun pandan
Garam secukup rasa

Cara Membuat: 

1.  Bancuh tepung beras dan tepung jagung bersama 2.5 liter air (termasuk air rebusan keledek).  Tapis dan kacau di atas api.
2.  Masukkan pati santan dan daun pandan.  Kacau hingga pekat.
3.  Masukkan gula pasir, gula merah dan secubit garam.
4.  Masukkan kacang hijau, kacang kuda, jagung dan keledek.
5.  Masukkan kesemua bahan yang lain dan kacau hingga adunan masak.
6.  Untuk pastikan adunan masak, ambil sedikit adunan dan letak di piring.  Biarkan sebentar.  Jika ia tidak melekat, bermakna adunan telah masak.
7.  Bila sudah masak, tuang ke dalam acuan dan sejukkan sebelum dipotong.

Selamat Mencuba  :)


Sudi-sudikanlah komen di bawah ini dan kongsikan dengan kawan-kawan, ya ... Terima kasih  :)  :)

No comments:

Post a Comment