Pages

Kuih Talam Berlauk

Khamis lalu, buat pertama kalinya mencuba resepi talam berlauk ini.  Biasanya samada beli atau orang beri, memang suka kuih ini, tapi tak pernahlah terfikir nak membuatnya sendiri.  Bila nampak gambar talam berlauk yang di post ke Whatsapp grup oleh Elyn, terasa ingin cuba membuatnya pula.
 
Apa lagi, pm Elyn minta resepi lah hahaha... Kalau ikut resepi asal, dalam adunan ada telur, tapi kata Elyn, dia tak suka sebab akan ada bau hanyir...  Ok lah, ikut cakap cikgu.. 

Sebaliknya Elyn sarankan, telur ayam tu buatkan scramble dan tabur atas adunan talam tu...  Emm.. dalam seronok memasak, terlupalah pulak nak buat scramble egg tu... tak ikut cakap cikgu lah pulak...  Sorry cikgu... :)

Dan seperti biasa, resepi asal kawan-kawan ni akan diubahsuai sedikit bagi mengikut selera sendiri pula... :)
 
Inilah hasilnya....

 



Bahan Kukus:

1 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
3 sudu tepung jagung
350gm santan dijadikan 3 cawan santan
1 sudu kecil garam
Sedikit minyak masak

Cara Membuat:

1. Kacau semua bahan hingga larut
2. Sapukan sedikit minyak dalam loyang (Saya gunakan minyak zaiton)
3. Panaskan kukusan
4. Masukkan adunan ke dalam loyang dan kukuskan selama 30 minit
5. Taburkan inti dan kukus selama 15 minit lagi. Ketepikan.
6. Taburkan daun sup, daun bawang dan cili merah ke atas adunan.
7. Sejukkan, potong dan sedia dihidang bersama sos.


Bahan Inti:

15 ekor udang segar - jika saiz besar, potong halus
Segenggam udang kering - Rendam seketika agar lembut
1 biji bawang besar - dipotong dadu
Serbuk kunyit
Serbuk lada sulah
Garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng dan menumis

2 biji cili merah - hiris halus
3 tangkai daun sup - racik halus
3 tangkai daun bawang - racik halus

Cara Membuat:

1. Gaul udang segar dengan serbuk kunyit dan garam lalu goreng dan ketepikan
2. Tumbuk udang kering hingga separuh hancur, goreng dan ketepikan.
3. Tumis bawang besar hingga naik bau.  Masukkan udang segar dan serbuk lada sulah.
4. Angkat dan gaulkan bersama udang kering.
5. Taburkan ke atas adunan yang dikukus.
6. Setelah adunan masak, taburkan daun sup, daun bawang dan cili merah.


Sos:

5 biji cili merah
2 sudu kicap pekat
1 sudu sos cili
1 sudu sos tomato
1 sudu gula
1 sudu kecil tepung jagung (larutkan dgn sedikit air)
1/2 biji perahan lemon
Secubit garam

Cara Membuat:

1. Kisar cili bersama tepung jagung yang telah dilarutkan.
2. Masak semua bahan hingga mendidih.
3. Makan bersama talam berlauk.



Resepi Asal : Elyn Shalina

Selamat Mencuba  :)


Sudi-sudikanlah komen di bawah ini dan kongsikan dengan kawan-kawan, ya ... Terima kasih  :)  :)

 

1 comment:

  1. Assalamualaikum Kak..nk tnya resepi ni untuk berapa org mkn n guna loyanh saiz ape ye?

    ReplyDelete