Pages

Kuah Kacang Dal

Biasanya jika hendak makan roti canai di kedai, selalu berharap agar dapat kuah kacang dal yang berbiji-biji.  Tapi, kebanyakan kuah dal jadi begitu hancur.  Mungkin dimasak terlalu lama agar memang hendakkan ia hancur dan akan menjadi lebih banyak kuantitinya. 
 
Antara tempat yang mempunyai kuah dal yang berbiji-biji dan sedap ialah di kedai tepi lebuhraya MRR2 dari Selayang ke Ampang, berhampiran dengan Zoo Negara.  Selain roti canainya yang sedap, kuahnya yang pekat, kacang dal yang masih berbiji-biji dan ada hirisan daging, ia sememangnya mengamit selera.  Jika ada yang berkesempatan, cubalah minum pagi di sana.  Tapi jangan lewat, biasanya jam 10.00 pagi, roti canainya dah habis.
 
Semalam dah berkira-kira membuat kuah dal dan hari ini pula, ada kelapangan.  Pergi ke Giant Taman Permata, beli keperluan dapur dan bahan-bahan untuk buat kuah dal juga. 
 
Kalau masak sendiri, kita boleh tentukan nak hancur atau berbiji-biji, rencahnya, kuantiti, kualiti dan rasanya.  Senang saja nak buat kuah kacang dal ini, cuma faktor masa dan mood saja... ha ha ha....
 


Bahan-Bahan A:

300 gram kacang dal
120 gram daging (dihiris)
1 biji terung bulat (di potong dadu)
1 batang karot dihiris
1 biji kentang (dipotong dadu)
2 biji cili merah
2 biji cili hijau ( dipotong 3 bahagian)
Sedikit serbuk kunyit
Garam dan gula secukup rasa

Bahan-Bahan B:
 
3 biji bawang merah (dimayang)
2 biji bawang putih (dihiris)
1 inci halia (dihiris)
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
Sedikit halba
Minyak untuk menumis
 
Cara Membuat:

1.  Kacang dal direndam hingga kembang (dalam 2 jam)  dan di rebus bersama daging, hingga empuk.
2.  Masukkan karot, terung, kentang dan serbuk kunyit. Biarkan hingga masak.
3.  Masukkan cili merah dan cili hijau. Tambah air jika perlu.
4.  Tumis Bahan B berasingan, hingga naik bau.
4.  Campurkan bahan ini ke dalam periuk kacang dal.
5.  Masukkan garam dan gula. Biarkan seketika. Sedia untuk dihidang.
Selamat Mencuba  :)


Sudi-sudikanlah komen di bawah ini dan kongsikan dengan kawan-kawan, ya ... Terima kasih  :)  :)

 
 

No comments:

Post a Comment