Pages

Kailan Goreng Garing

Ahad lepas berkesempatan untuk makan tengahari bersama keluarga di Restoran Adam Lai Abdullah di Dataran Wangsa, Wangsa Melawati.  Sebaik makanan sampai setelah buat tempahan, terasa pelik kerana ada masakan Kailan Goreng Chinese Style.  Rasanya, kami minta sayur lain tadi. Takpe lah, makan saja.

Ohh.... sedap juga masakan ini.  Anak makan dengan begitu berselera sekali.

Tiba-tiba teringat, pernah makan hidangan yang hampir sama di sebuah restoran Cina Muslim di Seremban, bersama kawan-kawan ex-STTJ, beberapa bulan yang lalu.  Terdetik di hati, nak cuba masak resepi inilah. 
 
" Ayah, nanti masak kailan macam ni, tau", pinta anak bongsu bagai tahu, apa yang terdetik dihatiku.
 
"Jom kita rasa dulu dan agak-agak, apa ramuannya, ya", kataku.

Bersama Ebby Yus, rakan kongsi Restoran Adam Lai

Seorang rakan, Saido San, bertanya, apakah beza Kailan Melayu dan Kailan Cina? 

Tak pastilah pulak, Saido.... Biasanya, kalau kailan ni, orang Melayu buat masak Kailan Goreng Ikan Masin.  Begitu juga, jika makan di restoran/gerai makanan Thai, Kailan Goreng Ikan Masin memang ada dalam menu mereka.

Mungkin cara masakan dan ramuannya yang membezakan namanya.  Rasanya juga turut berbeza.  Bak kata anak... "ayah masak kailan ni, sedaplah..." 
 
Hanya senyum dan terasa hilang penat memasak hahaha...



Bahan-Bahan:

300gm Kailan Jepun (Baby Kailan sesuai juga)
Segenggam Ikan Bilis
2 ulas bawang kecil (dihiris halus)
2 ulas bawang putih (diketuk)
1 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil sos ikan
Minyak untuk menggoreng dan menumis
Sedikit air (lebih kurang 1/4 cawan saja)
Garam secukup rasa

Cara Membuat:

1.  Cuci kailan dan hiris nipis daunnya. Batang kailan di potong/hiris berasingan.
2.  Goreng daun kailan hingga garing (warna akan bertukar hijau gelap). Angkat
dan toskan.
3.  Goreng ikan bilis hingga garing dan ketepikan.
4.  Gunakan sedikit minyak tadi untuk menumis bawang kecil dan bawang putih. Setelah naik baunya, masukkan batang kailan yang telah dipotong.
5.  Kemudian masukkan air, sos tiram, sos ikan dan garam.
6.  Angkat dan masukkan ke dalam mangkuk. Diatasnya, masukkan kailan goreng dan taburkan ikan bilis.


Selamat Mencuba :)

Sudi-sudikanlah komen di bawah ini dan kongsikan dengan kawan-kawan, ya ... Terima kasih  :)  :)

No comments:

Post a Comment